Alhamdulillah, Mak Wan, salah seorang di antara 10 orang penerima Anugerah Ibu Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu dan Peringkat Kebangsaan 2015 sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan dan sempena Jelajah Keluarga Bahagia 2015 bertempat di MYDIN Mall, Gong Badak, Terengganu Darul Iman pada Ahad, 10 Mei 2015.
Seramai 10 orang ibu di negeri ini diberi penghormatan menerusi Anugerah Ibu Cemerlang dalam majlis sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan LPPKN ( Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara).
Mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang kerjaya termasuk pendidik, pegawai kerajaan, usahawan, NGO, ibu tunggal, serta sukarelawan itu dipilih berdasarkan kejayaan dalam berjuang melahir, mendidik, mengasuh dam membimbing anak-anak dengan nilai terpuji sehingga hingga berjaya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara serta berjaya dalam bidang akademik dan sahsiah selain sumbangan sosial terhadap masyarakat.
Anugerah bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan ibu sekaligus menjadi panduan kepada wanita lain dalam mendidik anak-anak serta membangunkan keluarga itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Penerima-penerima anugerah ialah Azma Senun, Zaini @ Daini Ali, Datuk Samsiah Awang, Rahmah Daud, Zaitun Salleh, Datuk Fatimah Hamat, Wan Zaiton Wan Abdul Kadir, Foo Boh Boi, A. Fatima Anita dan Sarimah Desoh.
Turut hadir sama ke majlis ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB. Dato Haji Muhammad Pehimi Yusof.
Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan diadakan secara serentak di 10 buah negeri antaranya di Stadium Mini Bistari Ayer Keroh; Melaka, Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Baharu; Kelantan, Kompleks Sogo; Kuala Lumpur, Medan Niaga Satok; Kuching; Sarawak, Institut Pendidikan Guru (IPG); Perlis dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan; Sabah.